Mafia Upah 5,000 Euro Bunuh Seekor Anjing

GENTAR… Sebuah kumpulan mafia di Itali baru-baru ini menawarkan upah wang tunai terhadap musuh yang agak luar biasa – iaitu seekor anjing penghidu dadah dikenali nama sebagai Pocho.

Menurut media Itali, anjing jenis Jack Russell Terrier berumur sembilan tahun itu kini menjadi buruan keluarga Camorra, iaitu salah sebuah famili samseng mafia yang dikatakan paling besar dengan usia tertua di dunia.

Menurut laporan akhbar The Times, Pocho atau turut digelar sebagai ‘Si Debab’ dikatakan “berjaya mengesan secara keseluruhan lebih dua tan dadah haram sepanjang tempoh ia berkhidmat dengan pasukan polis Naples”.

Malah ia merupakan “ancaman terbesar” kumpulan mafia yang terlibat dalam operasi rangkaian dadah, sekali gus menyebabkan mereka sering mengalami “kerugian berjuta-juta euro” akibat disita oleh pihak berkuasa.

Daily Mail melaporkan antara kejayaan terbaharu ‘Si Debab’ termasuk mengesan hampir 31 kilogram dadah ketika satu serbuan polis, dan haiwan ini turut berjaya menghidu kokain yang disembunyikan di dalam botol susu.

Keluarga mafia tersebut dikatakan sanggup menawarkan upah sebanyak 5,000 euro (kira-kira RM23,800) untuk mana-mana pihak yang berjaya bunuh ‘Si Debab’ dalam apa keadaan. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...