LOS ANGELES – Penyanyi hip hop, Mac Miller mati akibat mengambil campuran dadah berbahaya dan alkohol, kata pejabat perubatan semalam.

Penghibur dengan nama sebenar Malcolm McCormick berusia 26 tahun itu ditemui mati di kediamannya di Los Angeles pada 7 September lalu. Punca kematiannya hanya diketahui selepas siasatan selesai.

Pejabat koroner berkata, McCormick mati akibat campuran dadah yang tinggi kandungan toksin, termasuk opioid fentanyl, kokain dan alkohol.

“Kematian Miller turut dikelaskan sebagai satu kemalangan,” tambahnya.

Penyanyi kelahiran Pittsburgh dan pernah bercinta dengan bintang pop, Ariana Grande itu sempat melancarkan album terbarunya berjudul ‘Swimming’ beberapa hari sebelum kematiannya.

Dia juga dalam perancangan untuk memulakan konsert jelajah bagi mempromosikan album berkenaan.

McCormick agak terbuka dengan masalah ketagihan malah muziknya sendiri sering menceritakan bagaimana dia berperang dengan kemurungan dan penyalahgunaan dadah.

Beberapa artis, termasuk Chance the Rapper, ScHoolboy Q dan Ty Dolla $ign, turut memberi penghormatan kepadanya dalam sebuah konsert amal di Los Angeles minggu lalu. – AFP