Lynas ‘Terlalu Besar’ Untuk Diabaikan Kerajaan

KUALA LUMPUR – Pelaburan syarikat memproses nadir bumi, Lynas Corporation Limited (Lynas) yang dibangunkan di negara ini ‘terlalu besar’ untuk diabaikan oleh kerajaan, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof.

Menurut beliau, atas sebab itu kerajaan tidak sewajarnya memaksa syarikat berkenaan mengeksport semula pembuangan sisa radioaktif ke Australia, kecuali ia dinilai sebagai ‘sangat tidak selamat’.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu juga berpendapat, kilang Lynas di Gebeng Kuantan itu perlu terus dibenarkan operasi seperti yang telah diputuskan oleh Kabinet manakala hal yang berkaitan dengan pembuangan sisa radioaktif itu adalah isu berbeza.

“Kerajaan mengamalkan pendekatan mesra perniagaan oleh itu, kita akan mencari kaedah terbaik dalam pengurusan sisa bahan dari kilang tersebut. Pelaburan syarikat Lynas terlalu besar untuk diabaikan.

“Pandangan saya, kita perlu berbincang isu ini dalam Kabinet, kita perlu teruskannya dan isu sisa itu perkara yang berlainan. Terdapat alternatif lain untuk menguruskannya,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Redzuan akan mencadangkan supaya jawatankuasa peringkat tinggi bebas yang mengendalikan pelaburan Lynas menjalankan penyelidikan dalam bentuk laporan awam.

Jelasnya, langkah itu perlu bagi membolehkan orang ramai faham situasi sebenar bagaimana kerajaan menguruskan Lynas, namun buat masa ini masih terlalu awal untuk memaksa syarikat berkenaan membawa pulang sisa berkenaan.

“Jika jawatankuasa itu berpendapat sisa tidak selamat, katakan ia sangat tidak selamat, maka kita perlu menutupnya. Tetapi sekarang tidak ada petunjuk dan setakat yang saya tahu dakwaan menyatakan ia tidak selamat selain cadangan supaya sisa itu harus diambil kembali,” ujarnya.

Hari ini, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mahu mengadakan kerjasama dengan kerajaan Australia bagi memastikan sisa buangan Lynas dikembalikan ke negara itu.

Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis berkata kerjasama itu bagi mencari jalan dalam usaha memudahkan proses pengeluaran residu ‘Water Leached Purification’ (WLP) yang dihasilkan kilang Lynas dihantar ke Australia yang sepatutnya dilakukan sebelum September ini.

Menteri (Yeo Bee Yin) telah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Australia pada 26 Februari lepas untuk memaklumkan mengenai kerjasama ini bagi memudahkan cara pengeluaran sisa berkenaan dari Malaysia ke negara tersebut.

Semalam, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, projek Lynas menjejaskan penduduk kampung yang tinggal berhampiran.

Beliau berkata, hanya selepas lima tahun beroperasi, pembuangan sisa radioaktif di tapak serta sisa berjadual kini berjumlah 1.5 juta tan metrik dan air bawah tanah di bawah Lynas sudah tercemar dengan logam berat. – Sinar Harian

Loading...