Lynas Sedia Laksana Cadangan J/K Eksekutif

KUANTAN – Lynas Corporation Ltd (Lynas) hari ini berkata mereka secara sukarela akan berusaha melaksanakan cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Materials Plant (LAMP) mengenai operasi Lynas Malaysia di Gebeng di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze dalam kenyataan hari ini berkata ia termasuk saranan untuk eksport sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) dari Malaysia, jika lokasi kemudahan pusat pelupusan kekal (PDF) gagal dikenal pasti atau diluluskan.

Mereka juga akan berusaha mematuhi cadangan untuk menentukan lokasi dan bina PDF untuk residu WLP, termasuk mengenal pasti tapak bagi pembinaannya dibuat sebelum pembaharuan lesen pada 2 September 2019.

Lacaze juga merujuk kepada cadangan untuk menyediakan dan bina tapak simpanan selamat bagi Neutralization Underflow Residue (NUF) dan menyediakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) mengenai residu NUF.

Cadangan lain yang diperakui Lynas adalah untuk meneruskan kajian kitar semula residu NUF, untuk menjalankan pemantauan air bawah tanah dan kajian ekosistem akuatik Sungai Balok dan merangka strategi komunikasi yang lebih berkesan untuk memberikan fakta yang lebih tepat dan terkini kepada orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO).

Mengulas lanjut mengenai isu PDF, Lacaze berkata pembinaan kemudahan itu sentiasa menjadi sebahagian perancangan syarikat, dan disediakan dalam penyata kewangan mereka melalui bon PDF yang melebihi US$34 juta yang dipegang oleh pengawal selia Malaysia.

“Rangka kerja perancangan PDF Lynas dan pelan pemilihan tapak telah diluluskan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan kerajaan negeri telah memberi aku janji untuk menempatkan PDF ini di Pahang, sekiranya perlu,” katanya.

Lacaze juga menyatakan bahawa Lynas mengiktiraf peranannya sebagai pelabur langsung asing untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan mewujudkan nilai ekonomi untuk Malaysia.

Beliau berkata sehingga sekarang, Lynas Malaysia menawarkan lebih 1,000 pekerjaan langsung dan lebih 4,000 pekerjaan tempatan secara keseluruhan dengan 97 peratus daripada pekerjanya adalah rakyat Malaysia yang mendapat manfaat pekerjaan mahir dan dibayar empat kali lebih tinggi daripada gaji purata di Pahang.

“Sejak 2008, Lynas menyumbangkan RM2.6 bilion dalam Pelaburan Langsung Asing termasuk pelaburan modal di loji canggih kami. Selain itu, pembekal kami membuat pelaburan modal sebanyak RM300 juta.

“Kami telah menubuhkan rantaian bekalan yang mampu digunakan untuk membangunkan lagi industri hiliran tempatan. Kami turut menyumbang untuk meningkatkan taraf pendidikan dan kesihatan bagi anggota masyarakat tempatan,” katanya.

Lacaze juga berkata Lynas gembira laporan Jawatankuasa Eksekutif mendapati operasi mereka di Gebeng berisiko rendah dan mematuhi undang-undang yang terpakai dan memberi jaminan mereka mengalu-alukan peluang untuk terus memperbaiki perniagaan mereka berdasarkan cadangan yang diterima. – BERNAMA

Loading...