Lynas Promosi Malaysia Sebagai Destinasi Pelaburan Selamat

PETALING JAYA – Syarikat nadir bumi berasal dari Australia mendakwa ia berusaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dengan melibatkan pelanggan hilirannya.

Salah satu usaha ke arah itu menurut ketua eksekutif Lynas, Amanda Lacaze ialah melobi untuk mengadakan Persidangan Nadir Bumi Antarabangsa ke-16 di negara ini.

Persidangan itu, yang biasanya diadakan di Hong Kong, mengumpulkan pemimpin industri huluan dan hiliran dari Amerika Syarikat, Eropah, China, Jepun dan Australia.

Amanda memberitahu FMT bahawa firma hiliran yang terlibat dengan Lynas kini memantau untuk melihat apakah yang akan berlaku kepada syarikat itu di Malaysia.

“Pelabur akan melihat kestabilan persekitaran,” katanya.

“Jika sesuatu yang merosakkan berlaku kepada Lynas, maka pemain hiliran akan kurang berminat. Mereka akan membuat keputusan lain berhubung destinasi pelaburan mereka.”

Beliau berkata, Lynas percaya ia berkemampuan memenuhi syarat ditetapkan Putrajaya bagi memperbaharui lesen operasinya.

Pengkritik syarikat tersebut meneruskan kempen mereka terhadap operasi syarikat itu, tetapi Amanda berkata, Malaysia masih merupakan lokasi yang baik untuk meneruskan operasi syarikat berikutan kestabilan politiknya, akses kepada input utama, tenaga kerja berkemahiran, hampir dengan pasaran dan kemudahan pelabuhan yang cemerlang.

Katanya, China, yang mendominasi industri nadir bumi sejak beberapa dekad lepas, telah menggunakan industri huluannya bagi membina industri hiliran, sekali gus mencipta banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Kami fikir Malaysia berada pada kedudukan sesuai untuk melakukan perkara sama,” katanya.

Beliau berkata, industri hiliran bersedia untuk berkembang kerana nadir bumi digunakan secara meluas dalam pelbagai industri, termasuk sektor automotif dan elektronik serta sektor tenaga boleh diperbaharui.

Amanda berkata, China pernah bercakap tentang kemungkinan menggunakan dominasinya dalam industri nadir bumi sebagai senjata dalam perang perdagangannya dengan AS.

Hasilnya kata beliau, wujud peningkatan fokus terhadap bekalan nadir bumi dari luar negara China.

“Ini menawarkan peluang keemasan kepada Malaysia untuk memainkan peranan strategik dalam pembekalan nadir bumi kepada kerajaan dan industri di seluruh dunia.” – FMT

Loading...