LTTE: Tommy Jelas Sebab 2 Pertuduhan ADUN DAP Dibatalkan

SHAH ALAM – Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menjelaskan keputusan pendakwaan menggugurkan dua pertuduhan tambahan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.

Menurutnya, ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran sudah pun berdepan pertuduhan yang serupa, yang jika disabit bersalah boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup.

“Jadi tiada keperluan untuk berlebih-lebihan. Maka dakwaan bahawa semua pertuduhan terhadap Gunasekaran digugurkan adalah satu pembohongan.

“Bagaimanapun tiada yang menghalang kita untuk mendakwanya lagi pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan dipetik dari sebuah portal hari ini.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan tindakan Tommy selepas Mahkamah Sesyen Seremban semalam membenarkan pembatalan dua pertuduhan terhadap P Gunasekaran.

Zahid turut mempersoalkan adakah keputusan mahkamah terbabit berhubung pendakwaan memiliki item berkaitan LTTE itu kerana tertuduh ialah pemimpin dan pengikut DAP.

Tommy mengambil maklum Gunasekaran adalah seorang daripada 12 tertuduh didakwa di mahkamah sesyen seluruh negara mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana didakwa terlibat dalam usaha menghidupkan semula LTTE.

“Gunasekaran didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka dan Kuala Lumpur. Semalam, dua lagi pertuduhan tambahan patut dikenakan terhadapnya, mengikut peruntukan Sosma, di Mahkamah Sesyen Seremban.

“Tapi kita tidak teruskan kerana dia sudah berdepan pertuduhan (yang sama),” katanya.

Semalam hakim Mahkamah Sesyen, Madihah Harullah membenarkan permohonan pembatalan oleh Aslinda Ahad. Pihak pendakwaan sebelum itu membuat e-filing untuk dua pertuduhan baru itu.

Menurut pertuduhan tersebut, Gunasekaran didakwa memiliki item berkaitan dengan LTTE di pejabat dan kediamannya di Seremban masing-masing pada pukul 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Bagaimanapun dia akan kekal ditahan kerana tidak dibenarkan ikat jamin untuk pendakwaan terdahulu.

Selain Gunasekaran, seorang lagi ADUN DAP yang didakwa berhubung kes LTTE ialah G Saminathan.

Loading...