LTTE: Simpati Pada Anggota, Pegawai Polis – Najib

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa simpati kepada pegawai dan anggota-anggota polis yang berhempas pulas dan bertungkus lumus mendaulatkan undang undang tetapi akhirnya digugurkan kes oleh Pejabat Peguam Negara kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa pembatalan kes-kes membabitkan DAP bukan lagi satu perkara yang mengejutkan dalam Malaysia Bahru ini.

“Mula-mula selepas PRU14, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terkejut sehingga mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereke terkejut kes rasuah Lim Guan Eng dibatalkan walaupun sedang dalam perbicaraan.

“Sekarang pembatalan kes-kes di Mahkamah ini sudah menjadi amalan biasa sehingga tidak ada apa-apa untuk dikejutkan lagi.

“Dah jadi amalan biasa,” katanya yang mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Seremban yang membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran.

Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad mengemukakan permohonan itu dihadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, Seremban, masing-masing pada 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

Loading...