LTTE: Polis Tunggu Arahan Peguam Negara

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AG) berhubung keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada AG.

“Saya belum terima apa-apa secara rasmi daripada AG,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh berkata, AG perlu melakukan tindakan sewajarnya untuk membebaskan 12 lelaki terbabit.

“Apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah untuk menarik semula tuduhan terhadap mereka sebelum mereka dibebaskan.

“Saya juga mendesak AG membuat tindakan sewajarnya kepada 12 yang terbabit pada Isnin ini untuk tujuan itu. Tidak ada lagi alasan menahan mereka lebih lama dari itu,” katanya dalam kenyataan.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas hari ini membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.

Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang. – myMetro Online

Loading...