LTTE Masih Kumpulan Pengganas – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Mohd Yassin berkata, kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih dikategorikan sebagai kumpulan pengganas dan kerajaan tidak berhasrat untuk mengugurkan kedudukan kumpulan itu.

Muhyiddin berkata, Peguam Negara, Tommy Thomas tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan dan bidang kuasa menteri dalam negeri, susulan tindakannya memberhentikan serta-merta pertuduhan terhadap 12 individu yang dikaitkan dengan kumpulan itu semalam.

“Saya ingin menegaskan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa menteri dalam negeri yang diperuntukkan bawah undang-undang.

“Peguam negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa menteri dalam negeri.

“Untuk rekod, selain Malaysia beberapa buah negara lain turut mengisytiharkan dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Thomas semalam, memutuskan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh dalam mana-mana 34 pertuduhan dan bertindak memberhentikan prosiding terhadap mereka berkuat kuasa serta-merta.

Tambah Muhyiddin, kumpulan ini dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap keselamatan awam dan keselamatan negara.

Bahkan beberapa negara di dunia seperti India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom masih terus menetapkan dan mengisytiharkan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

“Penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa seperti polis dan lain-lain agensi kawal selia atau pengawasan yang berkaitan.

“Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran idelogi dan kegiatan yang berkaitan dengan kumpulan ini,” katanya.

Dua belas tertuduh itu ialah ahli DAP, V Suresh Kumar, 44; ahli perniagaan, B Subramaniam, 58; penjaga stor, S Thanagaraj, 27; Saminathan, 35; Gunasekaren, 61; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau di Melaka, S Chandru, 39; juruteknik, S Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M Pumugan, 30; guru sekolah menengah di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pemandu teksi V Balamurugan, 38; pengutip besi buruk A Kalaimughilan, 29; dan penghantar surat S Teeran, 39.

Semua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan.

Di bawah Sosma mereka tidak dibenar diikat jamin.

Mereka antaranya menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam suatu majlis, memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam media sosial dan pertuduhan memiliki, mengedar dan memaparkan bahan-bahan berkaitan LTTE. – FMT

Loading...