LTTE: Kes Penghantar Surat Pindah Ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR – Kes penghantar surat yang didakwa atas dua pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berunsur perbuatan keganasan berkaitan kumpulan pengganas LTTE dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi memutuskan perkara itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman memohon untuk memindahkan kes S Teeran, 38, dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

“Pihak pendakwaan telah menyediakan izin untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah. Mohon arahan lanjut mahkamah,” katanya semasa sebutan kes itu hari ini.

Terdahulu, peguam Tiara Katrina Fuad yang mewakili tertuduh membuat permohonan untuk berhujah secara lisan bagi ikat jamin anak guamnya, namun dibantah Rohaiza atas alasan Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan ikat jamin.

Mahkamah memutuskan untuk tidak mendengar sebarang permohonan lisan dan bertulis atau bantahan awal daripada mana-mana pihak kerana kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pada 1 November lepas, Teeran yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah firma guaman di Segamat, Johor didakwa atas pertuduhan dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE menggunakan aplikasi sosial Facebook miliknya di pejabat pegawai penyiasat Bahagian C8 (M) Kaunter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini pada 8 dan 9 Oktober 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Dia turut dituduh memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas itu di tempat letak kereta Mandarin Pacific Hotel, Jalan Sultan, di sini pada 10 Oktober lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana bahan itu, jika sabit kesalahan.

Loading...