LTTE: Kes CEO Dipindah Ke Mahkamah Tinggi

ALOR GAJAH – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, membenarkan permohonan untuk memindahkan kes Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, S Chandru yang didakwa terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Ahmad Sazali Omar memutuskan demikian selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias dan Aliff Asraf Anuar Sharuddin pada prosiding sebutan kes hari ini.

Terdahulu, peguam Melvin Tay yang mewakili tertuduh membantah permohonan itu dan memohon supaya prosiding kes berlangsung di Mahkamah Tinggi Melaka dengan alasan anak guamnya mempunyai satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, esok.

Mohd Izhanudin dalam hujahannya berkata, kes perlu dipindahkan mengikut sijil Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah, yang semua kesalahan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hanya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Ahmad Sazali kemudian membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan selain mengarahkan permohonan peguam untuk direkodkan.

S Chandru, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE, di dalam sebuah telefon bimbit, di sebuah rumah di Kampung Bukit Balai, di sini, jam 10.20 pagi, pada 12 Oktober lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Hakim Elesabet Paya Wan pada 11 Disember lalu menetapkan esok bagi mendengar permohonan membenarkan ikat jamin terhadapnya serta dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan, 34, dan ADUN Seremban Jaua, P Gunasekaren, 60. – BH Online

Loading...