LTTE: ADUN Seremban Jaya Bebas, Lepas

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, melepas dan membebaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran daripada tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LLTE).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapat arahan daripada Pendakwa Raya untuk tidak meneruskan prosiding.

“Tiada sebarang alasan diberikan dalam hal sedemikian. Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan,” katanya.

Gunasekaran, 60, sebelum ini dituduh bersama-sama ahli DAP, V Suresh Kumar, 43; pengusaha restoran, B Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 28.

Pada 31 Oktober lalu, Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Gunasekaran didakwa menggunakan nama ‘DAP Guna Palanisamy’, Subramaniam atas nama ‘US SUBRA SUBRAMANIAM’ dan Suresh Kumar dengan nama ‘RocketSuresh DAP’.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini pada 7 dan 11 Oktober 2019 pada masa berlainan iaitu 2 petang, 5.30 petang dan 6 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Jabatan Peguam Negara Jumaat lalu, membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan LTTE.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang. – BH Online

Loading...