LTTE: ADUN Gadek Kemuka Surat Representasi Kepada Tommy

KUALA LUMPUR – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Gadek, Melaka G. Saminathan yang ditahan di bawah akta kesalahan keselamatan berkaitan kumpulan pengganas LTTE, mengemukakan surat representasi kepada Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung permohonan jaminan yang membabitkan isu perlembagaan.

Saminathan, 34, yang menghadapi pertuduhan menyokong dan memiliki item berkaitan kumpulan itu ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili Saminathan berkata pihaknya telah menghantar surat representasi kepada Peguam Negara dua hari lalu (Isnin) untuk dipertimbangkan.

“Pihak pendakwaan telah menerima surat representasi itu dan mereka memerlukan masa untuk meneliti surat berkenaan,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad berkata pihaknya telah menerima surat representasi itu semalam dan akan berbincang dengan Peguam Negara berhubung perkara berkenaan pada Jumaat ini.

Hakim Mohd Nazlan menetapkan 26 November untuk mengetahui perkembangan berhubung surat representasi tersebut.

Sepatutnya, hari ini pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan jaminan atau ia perlu dirujuk dan diputuskan di Mahkamah Persekutuan kerana ia melibatkan isu perlembagaan.

Pada 1 November lepas, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob telah memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah itu telah membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mereka ialah Saminathan, ADUN Seremban Jaya P. Gunasekaran, 60; pemandu teksi V. Balamurugan, 37; penghantar surat S. Teeran, 38; peniaga besi buruk A. Kalaimughilan, 28; ketua pegawai perbadanan S. Chandru, 38; juruteknik S. Arivainthan, 27; penjaga stor S. Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M. Pumugan, 29; seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor Sundram Renggan @ Rengasamy, 52; ahli DAP V. Suresh Kumar, 43; dan peniaga B. Subramaniam, 57.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Oktober lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Loading...