LTTE: 2 ADUN DAP Ditahan Kekal Sebagai Wakil Rakyat

GEORGETOWN – Status dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak tergugat selagi mereka belum disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, walaupun telah dijatuhi hukuman, status mereka sebagai ADUN masih kekal sehingga proses rayuan selesai di mahkamah.

Menurutnya, kedua-dua ADUN berkenaan akan hilang kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman dan dikenakan penjara melebihi 12 bulan atau denda melebihi RM2,000.

“Seseorang yang disabitkan atas suatu kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lebih satu tahun atau denda lebih daripada RM2,000 baru boleh hilang kelayakan sebagai ADUN.

“Kalau dahulu ada wakil rakyat yang ditahan selama lima tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), namun sekiranya tiada sabitan yang dikenakan, status mereka sebagai wakil rakyat tidak akan terjejas,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama dalam Forum Demokrasi yang dianjurkan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pagi tadi.

Sebelum ini, polis mengesahkan menahan tujuh lelaki termasuk dua ADUN dari Melaka dan Negeri Sembilan yang dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dua wakil rakyat berkenaan ialah ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran dan ADUN Gadek, G Saminathan.

Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini berkata, tangkapan pertama membabitkan ADUN di Negeri Sembilan selepas didapati menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka dan menyampaikan ucapan yang berunsur sokongan terhadap LTTE.

Beliau dikesan mengedar risalah dan bahan yang berkaitan LTTE dalam program itu pada 28 November tahun lalu.

Menurutnya, tangkapan kedua membabitkan ADUN dari Melaka yang turut didapati menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka dan menyampaikan ucapan yang menyokong LTTE selain mengedarkan bahan berkaitan kumpulan itu.

Loading...