Lori Terbalik Beras, Bihun Bertaburan

KUALA LUMPUR – Aliran trafik di Km 14.1 Lebuhraya Baru, Lembah Klang (NKVE) arah selatan dari Damansara ke Subang sesak selepas sebuah lori yang membawa muatan beras serta bihun terbalik, kata polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din hari ini berkata, kejadian itu berlaku pukul 10 pagi apabila lori terbabit dipercayai terbabas lalu terbalik menyebabkan beras serta bihun berselerak di lebuh raya itu.

“Pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kelindan cedera ringan di bahagian pinggang dan lutut.

“Kemalangan itu mengakibatkan aliran trafik sesak dan hanya dua lorong dibuka bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, anggota trafik masih membuat kawalan di lokasi kejadian bagi memastikan aliran trafik lancar.

Gambar lori terbalik menyebabkan beras dan bihun berselerak di lebuh raya itu tular di laman sosial.

Loading...