Lorenzo Kemalangan Lagi

BURIRAM – Penunggang MotoGP Sepanyol, Jorge Lorenzo digegaskan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut selepas terjatuh dalam kemalangan pada sesi latihan…

BURIRAM – Penunggang MotoGP Sepanyol, Jorge Lorenzo digegaskan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut selepas terjatuh dalam kemalangan pada sesi latihan bebas kedua Grand Prix Motosikal Thailand hari ini.

Pasukannya, Ducati dalam kenyataan di Twitter sebentar tadi memberitahu, imbasan x-ray di pusat perubatan Litar Antarabangsa Chang menunjukkan Lorenzo lebam di pergelangan tangan kiri dan buku lali kanan tetapi tidak mengalami sebarang retakan.

Juara MotoGP dunia tiga kali itu, yang bakal menyertai rakan senegara dan juara bertahan, Marc Marquez dalam pasukan Honda musim depan kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan terperinci.

Lorenzo, 31, tiba di Thailand dengan kaki yang masih cedera selepas terlibat dalam kemalangan pada Grand Prix Aragon, Sepanyol, dua minggu lalu.

Dalam kemalangan terbaru yang berlaku di selekoh ketiga, Lorenzo melayang di udara sebelum jatuh dengan kuat, manakala motosikalnya mengalami kerosakan teruk.

Rakan sepasukannya, Andrea Dovizioso dari Itali mencatat masa terpantas pada sesi berkenaan.

Lorenzo kini menduduki tangga keempat keseluruhan dalam kejuaraan MotoGP, 116 mata di belakang Marquez ketika perlumbaan musim 2018 berbaki lima pusingan. – REUTERS

Loading...