Lokman Pertimbang Cabar Dakwaan Menghina Mahkamah

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam yang didakwa mengugut saksi dalam kes 1MDB, sedang mempertimbangkan sama ada akan mencabar dakwaan penghinaan atau mengetepikannya, kata peguam.

Wan Aizuddin Wan Mohamad yang mewakili Lokman memberitahu hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah bahawa Pejabat Peguam Negara menyediakan dokumen tambahan mahkamah pada 5 November.

“Saya sedang mencari tarikh pengurusan kes lain untuk memutuskan sama ada meneruskan pertuduhan atau mengetepikannya,” katanya.

Sequerah menetapkan 22 November untuk kemas kini kes itu.

Peguam Negara (AG), Tommy Thomas diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa Kunyalam, yang merupakan sebahagian daripada pasukan pendakwaan 1MDB. Lokman juga hadir di mahkamah hari ini.

Pada 22 Oktober, Sequerah membenarkan Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana didakwa mengugut Amhari Efendi Nazaruddin, saksi kelapan dalam kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram berkata Lokman cuba mengganggu pentadbiran keadilan.

Sri Ram berkata Lokman bukan sahaja membuat laporan polis terhadap Amhari, tetapi juga mengadakan temubual melalui video di mana beliau didakwa menyerang integriti peguam negara.

Dalam laporan polisnya, Lokman meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dan mendakwa Amhari kerana menerima wang daripada ahli perniagaan buruan Low Taek Jho.

Beliau juga memuat naik video mengulangi tuduhan dalam laporan tersebut.

Dalam perbicaraan 1MDB, bekas perdana menteri Najib Razak berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah RM2.28 bilion pada Februari 2011 dan Disember 2014. – FMT

Loading...