Lokman Bukan Dipecat, Tetapi Dibuang – Annuar

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Noor Adam bukan dipecat daripada jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tetapi dibuang daripada parti, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Serentak tindakan pemecatan itu yang diputuskan oleh ahli MKT selepas dicadang dan diluluskan oleh Biro Politik UMNO, Annuar seperti dilaporkan UMNO Online semalam, menegaskan Lokman hilang kelayakan sebagai ahli MKT.

MKT UMNO bermesyuarat petang Jumaat lalu, manakala pada sebelah pagi diadakan mesyuarat Biro Politik parti berkenaan.

“Datuk Lokman Noor Adam bukan dipecat daripada jawatan MKT UMNO tetapi dibuang daripada menjadi ahli UMNO. Justeru, Lokman hilang kelayakan sebagai ahli MKT.

“Sesungguhnya Lokman dalam banyak perkara tidak bercakap benar dan tidak memahami Perlembagaan UMNO terutama membabitkan kedudukan dan bidang kuasa Presiden dan ahli MKT yang dilantik,” kata Annuar.

Ahli MKT UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mendedahkan selepas mesyuarat MKT bahawa Lokman dipecat sebagai ahli UMNO atas syor Biro Politik dan bukan atas syor Lembaga Disiplin serta menyifatkan tindakan itu sebagai ‘kurang bijaksana’.

Lokman yang tidak hadir mesyuarat berkenaan, dalam satu kenyataan selepas itu mendakwa beliau dipecat melalui “proses mengundi angkat tangan”.

Mengulas lanjut, Annuar menegaskan, Lokman cuba mencipta persepsi kononnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyalahguna kuasa, selain melaga-lagakan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak dengan kepemimpinan tertinggi parti.

“Datuk Seri Najib Razak telah beberapa kali mengatakan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjadi Presiden dan Perdana Menteri semula. Lokman berbohong dan cuba mengelirukan selain memberi harapan palsu kepada pengikut beliau,” katanya. – BH Online

Loading...