Lizzy Bantu Promosi Muka Baharu Skuad Badminton

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) melantik artis Elizabeth Tan selaku duta untuk mempromosi skuad badminton negara yang menampilkan muka baharu dan muda.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pemilihan penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Knock knock’ dan ‘Setia’ itu mengambil kira populariti Elizabeth di media sosial dan peminat dalam kalangan remaja.

“Dalam perjalanan kita melalui proses kelayakan ke Sukan Olimpik yang akan bermula pada 1 Mei ini hingga 30 April 2020, kita berharap seluruh rakyat Malaysia akan bersama-sama kita.

“Kita merasakan bahawa kehadiran Elizabeth Tan akan memberi lebih impak terutama untuk menarik minat generasi muda. Kita tahu bahawa Elizabeth mempunyai pengikut yang ramai hampir 2 juta.

“Kita berharap kolaborasi ini akan mampu menjana situasi menang-menang. Kita juga mengalu-alukan personaliti lain di luar yang mampu memberi khidmat dalam usaha merealisasikan usaha untuk meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman kerjasama itu di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara hari ini.

Mohamad Norza berkata, kerjasama dengan Elizabeth juga bertepatan dengan matlamat BAM yang mahu memperkenalkan barisan muka baharu yang akan mewakili Malaysia. Katanya, masyarakat lebih mengenali sukan badminton menerusi individu seperti Datuk Lee Chong Wei dan pada tahun ini BAM mahu fenomena itu berubah dan peminat mula mengenali skuad badminton negara yang berwajah baharu.

Dengan penghijrahan keluar pemain-pemain senior, hari ini kami mempunyai pemain yang rata-ratanya lingkungan usia 23 tahun.

“Mereka yang muda ini adalah muka-muka baharu dalam dunia badminton. Bagaimana kami mahu memperkenalkan mereka kerana contohnya bila menganjurkan Terbuka Malaysia, orang ramai berminat untuk datang ke stadium kerana Chong Wei.

“Sekarang kami mahu seluruh rakyat Malaysia memastikan mereka datang ke stadium dan beri sokongan penuh kerana mereka (pemain) adalah aset dan masa depan negara kita,” katanya.

Mengulas mengenai kelayakan Sukan Olimpik, Mohamad Norza berkata Malaysia akan memberi peluang kepada lebih ramai pemain untuk mencari mata kelayakan ke temasya lima tahun sekali itu.

“Setiap negara hanya mendapat kelayakan maksimum dua penyertaan dalam setiap kategori. Kami akan menghantar sebanyak mungkin pemain untuk mengutip mata kelayakan,” katanya.

Badminton di Sukan Olimpik Tokyo 2020 menawarkan lima pingat emas masing-masing untuk acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Sementara itu, Elizabeth yang mesra dengan panggilan Lizzy ketika ditemui berkata beliau akan berkongsi dengan orang ramai khususnya pengikut di platform media sosial berkaitan BAM dan pemain badminton negara.

“Ramai orang kenal Datuk Lee Chong Wei sahaja bila sebut badminton. Tapi ramai tidak tahu, negara mempunyai ramai pemain yang bagus, berdisiplin. Lizzy juga akan kongsikan persiapan pemain negara sepanjang tahun sebelum menghadapi kejohanan.

“Selain itu, Lizzy akan memberikan sokongan kepada skuad badminton negara sama ada menerusi media sosial mahupun hadir ke venue,” katanya.

Menurut Elizabeth, tugas pertamanya nanti adalah pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang akan berlangsung pada 2 hingga 7 April di Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil.

Loading...