Liverpool Lakar Kebangkitan Sensasi Benam Barcelona

LIVERPOOL – Liverpool mempamer kebangkitan luar biasa di Anfield apabila membenam Barcelona 4-0 dalam separuh akhir kedua Liga Juara-Juara hari ini, sekali gus mara ke final buat musim kedua berturut-turut.

Selepas kalah 0-3 di Camp Nou minggu lalu, anak-anak buah Jurgen Klopp sedar mereka perlu mencari empat gol di depan penyokong sendiri dan mengelak dibolosi jika mahu meneruskan kemaraan.

Beraksi tanpa Mohamed Salah dan Roberto Firmino pada awalnya tampak menyukarkan misi Reds, namun Divock Origi dan Georginio Wijnaldum menggalas tugas dengan baik apabila masing-masing meledak dua gol untuk memastikan kemenangan sensasi Liverpool.

Reds menang secara agregat 4-3, sekali gus akan menentang pemenang di antara Tottenham atau Ajax dalam perlawanan akhir di Stadium Wanda Metropolitan, Madrid pada 2 Jun ini.

Ajax mengalahkan Spurs 1-0 dalam separuh akhir pertama dan akan menerima kunjungan kelab London itu di Amsterdam pada aksi kedua esok. – Agensi

Loading...