Liow Arah MAHB Bantu Siasatan Kes Abang Jong-Un

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan Malaysia Aiports Holdings Bhd (MAHB) memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan kematian seorang warga Korea Utara di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Isnin lepas.

Beliau dalam masa yang sama memberi jaminan bahawa lapangan terbang itu selamat dan mempunyai kawalan keselamatan yang terbaik.

“Amat penting untuk kita mengadakan sistem keselamatan yang baik (di lapangan terbang) dan lapangan terbang kita adalah selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di kementeriannya, di sini hari ini.

Meskipun tidak mempunyai maklumat terperinci berhubung insiden itu, Liow berkata beliau mengarahkan MAHB supaya bekerjasama dengan polis, termasuk memberi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Polis masih menyiasat identiti sebenar lelaki warga Korea Utara, Kim Chol, yang dilaporkan sebagai abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un.

Kim dilaporkan berada di klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau pada Isnin dan kemudian meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital setelah meminta bantuan di kaunter lapangan terbang berkenaan. – BERNAMA

Loading...