LHDN Buru Pelari Cukai

ADAKAH kerajaan suka-suka mahu mengenakan cukai pendapatan? Apakah saja-saja Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditubuhkan?

Jawapannya tidak kerana cukai dikutip kerajaan maka kita dapat menjalani kehidupan dalam negara yang makmur ketika ini.

Sila ambil peduli cukai merupakan salah satu sumber utama kerajaan memperoleh dana menguruskan dan mentadbir negara.

Tanpa dana mencukupi mustahil negara dapat dibangunkan apatah menampung kemudahan rakyat seperti kesihatan dan pendidikan.

Maka sebagai warga Malaysia seharusnya berbangga membayar cukai kerana dapat menyumbang kepada kesejahteraan negara.

Bagaimanapun lumrah di seluruh dunia pasti ada pihak yang akan cuba mengelak daripada membayar cukai kerana ketamakan.

Perbuatan itu bukan sahaja merupakan satu jenayah kolar putih, malah merupakan pembelotan kepada negara.

Malaysia namun bersyukur mempunyai LHDN sebuah agensi yang cekap dan proaktif dalam memastikan pematuhan kepada pembayaran cukai.

LHDN melalui operasi penguatkuasaan telah berjaya mematahkan banyak perancangan licik untuk ‘lari cukai’.

Tahun ini LHDN tampil lebih agresif dengan berusaha meneroka data – data baharu bagi mengenal pasti kaedah pengelakan cukai terkini termasuk memerangi perakaunan kreatif dengan memperkasakan kemahiran dan pengetahuan percukaian kepada pegawai barisan hadapannya.

Mungkin kerana itu pegawai-pegawai LHDN sangat digeruni oleh pelari cukai.

Ketegasan dan kewibawaan pegawai-pegawai LHDN dalam agensi percukaian negara “without fear or favour” amatlah meresahkan mereka.

Usaha LHDN adalah untuk menjamin kelangsungan pendapatan negara dan akan lebih mudah dengan kerjasama anggota masyarakat di semua peringkat.

Berfungsi sebagai mata dan telinga LHDN dengan menjadi pemberi maklumat berhubung aktiviti pengelakan cukai.

Jangan bimbang menjalankan tanggungjawab bagi membantu negara membanteras pengelak cukai pendapatan.

Pemberi maklumat akan dirahsiakan mengikut peruntukan kerahsiaan di bawah Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Maklumat boleh disalurkan semudah menghantar emel kepada pelariancukai@hasil.gov.my. Ayuh laksanakan peranan kita. – Mynewshub.TV