LHDN Bantu Rakyat Semasa Pandemik

TERIMA KASIH LHDN kerana terus cakna dan prihatin terhadap golongan memerlukan melalui program bantuan makanan.

Pada 11 September lalu LHDN memberi bantuan sebanyak 100 bakul makanan kepada orang ramai di Jelebu, Negeri Sembilan.

Pada 10 September 2021 sebanyak 341 bakul makanan diagihkan bagi membantu penduduk di Kuantan, Pahang dan Bintulu, Sarawak.

Sehari sebelum itu 850 bakul makanan melalui Program CSR Hasil Prihatin diagihkan di Negeri Sembilan dan Sibu, Sarawak.

Media melaporkan setakat 6 September 2021 sebanyak 7,770 bakul makanan telah pun diagihkan di seluruh negara oleh LHDN.

Setiap set bakul makanan bernilai RM100 mengandungi barang keperluan asas seperti beras, tepung, susu, gula dan minyak masak.

Sebenarnya Program CSR Hasil Prihatin oleh LHDN sudah lama bermula bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik.

Seperti semua sedia maklum impak pandemik Covid-19 sangat besar sehingga ada yang dilaporkan pernah terputus bekalan makanan.

Kita masih ingat kisah kibaran bendera putih yang pernah menjadi kontroversi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka program CSR yang dilaksanakan LHDN itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesulitan rakyat yang terjejas.

Apa pun LHDN telah membuktikan sesuatu, iaitu dalam ketegasan melaksanakan amanah kutipan cukai untuk negara, tetap tidak pernah terkurang dalam nilai insaniah.

Sifat seperti ini yang rakyat harapkan oleh rakyat kepada seluruh jabatan dan agensi kerajaan.

Semoga LHDN memperkasakan lagi program CSR khususnya untuk membantu rakyat yang sedang terjejas akibat Covid-19.