Letupan Di Pub Bukan Angkara Serangan Pengganas

SERDANG – Pihak polis mengesahkan bahawa insiden letupan di sebuah pub di IOI Boulevard awal pagi tadi, yang telah mencederakan lapan orang, bukan serangan pengganas.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pihak polis sedang menyiasat sama ada serangan tersebut bermotifkan musuh perniagaan, dendam atau melibatkan seseorang individu sebagai sasaran.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, kata Abdul Rahim lagi.

Letupan itu yang dipercayai berpunca daripada bom tangan berlaku kira-kira jam 2.15 pagi ketika pengunjung premis hiburan itu sedang menyaksikan perlawanan bola sepak Euro 2016.

Akibat letupan itu, empat lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga China cedera.

Lima daripada mangsa cedera dihantar ke Hospital Serdang manakala tiga lagi dihantar ke Hospital Sunway. - MYNEWSHUB.CC

Loading...