Letak TH Di Bawah Kawal Selia BNM Langkah Baik – Anwar

KUALA LUMPUR – Meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) penting ke arah menumpukan semula kepada tujuan asalnya, kata Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, banyak lagi yang perlu dilakukan dari segi kawal selia, tetapi tidak mengulas lanjut.

Bercakap kepada pemberita pada Majlis Simposium Tahunan mengenai Kewangan Islam Kali Keempat di sini hari ini, beliau berkata TH merupakan institusi yang baik, tetapi telah disalah urus oleh pihak yang menggunakannya untuk kepentingan politik atau peribadi.

“TH merupakan satu contoh bagaimana pengurusan yang ‘goblok’ (bodoh) yang merosakkan dan mengkhianati amanah.

“Ia bukan salah institusi, bukan salah penabung tetapi pengurusannya yang telah menyalahgunakan kuasa, merompak harta rakyat dan tindakan harus diambil ke atas mereka,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata TH akan diletakkan di bawah kawal selia BNM bermula Januari tahun depan bagi menambah baik tadbir urus organisasi berkenaan.

Beliau berkata Kabinet telah memberikan sokongan penuhnya kepada pemulihan TH, termasuk penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) pada bulan ini.

Fungsi SPV ialah mengambil alih, memulihkan dan memaksimumkan pemulihan aset yang menunjukkan prestasi lemah selain menjual aset yang tidak menunjukkan prestasi baik untuk memulihkan kedudukan kewangan TH.

Sementara itu, Anwar berkata sistem kewangan Islam perlu mempunyai peralihan yang jelas dan membincangkan isu-isu, termasuk kemiskinan.

“Sejak beberapa dekad ini, isu ini telah diketepikan. Bagaimanapun, pada masa ini, ia agenda utama institusi kewangan Islam, termasuk bank-bank yang memberi tumpuan kepada komuniti pada amnya.

“Menjana pertumbuhan bukan hanya mempunyai sistem yang halal, tetapi ia juga perlu adil dan menggalakkan kesaksamaan,” katanya. – BERNAMA

Loading...