Lesen PSV: Pemandu E-Hailing Diberi Kelonggaran Masa

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan sedia memberi kelonggaran masa buat pemandu perkhidmatan e-hailing menghabiskan kursus enam jam bagi mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Antara perkara yang dipermudahkan ialah membolehkan pemandu e-hailing menjalani kursus dalam talian dan tidak perlu ke kelas, diberi masa anjal menghabiskan kursus selama enam jam secara berperingkat serta satu jam peperiksaan ujian berkomputer.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sedia ke lokasi dipilih operator e-hailing di seluruh negara bagi mengendalikan kursus enam jam yang ditetapkan kepada pemandu e-hailing itu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan MyRailtime, sebuah aplikasi di telefon pintar berbentuk perancang perjalanan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi menyediakan maklumat tepat waktu berlepas, ketibaan serta kelewatan perkhidmatan tren untuk rujukan orang ramai di KL Sentral di sini hari ini.

Anthony berkata kelonggaran itu bagi mempermudahkan pemandu e-hailing dan pihaknya sedia bekerjasama dengan operator bagi menganjurkan kursus enam jam tanpa memaksa pemandu menghadiri kelas secara fizikal.

“Kami sedia memberi kelonggaran bagi membolehkan mereka menjalani kursus atas talian dan tidak perlu ke kelas, asalkan mereka boleh menghabiskan tempoh enam jam berkenaan.

“Kelonggaran sudah diberi dan kini terpulang kepada mereka memilih kaedah mana untuk mengikuti kursus enam jam dan satu jam peperiksaan itu,” katanya.

Loke berkata demikian ketika ditanya sama ada kementerian itu bercadang memberi kelonggaran syarat memiliki lesen PSV kepada pemandu e-hailing menjelang tarikh penguatkuasaannya 12 Julai ini.

Loading...