Lesap RM95,000 Selepas Dijanjikan RM37 Juta

KUANTAN – Seorang akauntan berusia 53 tahun di Bera kelmarin kerugian RM95,668 selepas terpedaya apabila dijanjikan wang tunai AS9 juta (RM37 juta) daripada lelaki yang baharu dikenalinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita itu mengenali suspek sejak menerima emel daripada individu memperkenalkan diri sebagai Leigh Hester pada Februari lalu.

“Suspek juga memperkenalkan diri sebagai seorang tentera yang bertugas di Libya dan mempunyai wang sebanyak AS9 juta.

“Lelaki itu berjanji untuk mengirim wang tunai tersebut yang diisi dalam sebuah peti dan akan dihantar menggunakan khidmat syarikat perkapalan berpusat di London, United Kingdom,” katanya.

Mohd. Wazir menambah, mangsa seterusnya berurusan dengan pihak syarikat perkapalan tersebut serta melakukan 12 transaksi pemindahan wang kepada tiga akaun bank milik rakyat tempatan.

Ujar beliau lagi, wanita tersebut bagaimanapun sudah tidak dapat berinteraksi dengan syarikat perkapalan berkenaan selepas membuat pembayaran bagi urusan penghantaran peti berisi wang.

“Mangsa membuat laporan polis selepas menyedari telah ditipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambah Mohd. Wazir melalui kenyataan kepada pemberita di sini, hari ini.