Lepas Undi, Lan Solo Luang Masa Dengan Keluarga

PENYANYI Lan Solo memanfaatkan cuti umum bersempena hari mengundi dengan aktiviti yang berfaedah seperti meluangkan masa berkualiti bersama-sama keluarga.

Menurut pemilik nama sebenar Mohd Razlan Mohamed Yusof itu kepadatan jadual kerja kadangkala menyebabkan dia terpaksa mengorbankan masa bersama anak dan isteri.

Justeru itu, di kesempatan cuti sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 memberikan idea untuk Lan mengambil kesempatan membawa mereka menemaninya ke tempat mengundi di Keramat, Kuala Lumpur pagi tadi.

“Selepas bersarapan, saya dan keluarga terus ke pusat pembuangan undi bagi menunaikan tanggungjawab kepada negara kerana sejurus kemudian, saya merancang membawa mereka bersiar-siar pula.

“Kesibukan bekerja membuatkan saya tidak dapat meluangkan masa bersama anak-anak, jadi memandangkan hari ini dikhususkan untuk mengundi, saya memilih untuk melunaskan tanggungjawab secepat mungkin.

“Secara tidak langsung, saya dapat memberikan pendedahan awal kepada anak-anak mengenai tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Maklum saja, peristiwa bersejarah ini hanya berlangsung lima tahun sekali. Malah, saya juga beri pesanan khidmat masyarakat kepada peminat untuk keluar mengundi,” katanya dipetik BH Online.

Dalam pada itu, penyanyi berusia 33 tahun itu malah turut berharap agar pemimpin pilihan rakyat dapat mengotakan janji bagi membangunkan dan mengekalkan kesejahteraan negara.

Berkongsi mengenai perkembangan terbaharu, Lan kini sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya yang berjudul Berpisah Tanpa Rela.

Katanya, dia memilih genre pop balada untuk memulakan kerjaya solonya kerana suka dan selesa dengan konsep muzik itu.

Selain itu dia juga ingin tampil serta memberikan kelainan kepada peminat selepas hampir 20 tahun menyanyikan lagu rock. – MYNEWSHUB.CC/AM