Lelaki Tanggung Derita Gara-Gara Pakai 16 Cincin

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dari Bandar Permas Jaya di sini mengalami bengkak di semua jari kedua-dua tangannya akibat memakai 16 cincin yang terlalu ketat.

Difahamkan, mangsa berusia 34 tahun itu juga sanggup menanggung sakit berkenaan sejak enam bulan lalu tetapi enggan mendapatkan bantuan kerana terlalu menyukai kesemua cincin itu.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Pegawai Bomba Kanan II Razif Musa berkata, pihaknya menerima makluman berhubung perkara itu pada jam 2.53 petang semalam selepas dimaklumkan oleh pihak polis.

“Mangsa didapati mengalami bengkak di 10 jari tangannya kerana memakai sebanyak 16 cincin yang mempunyai pelbagai saiz dan bentuk.

“Pihak kami kemudiannya mengambil masa dua jam untuk memujuk mangsa ke hospital selepas polis tidak berjaya memotong cincin terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Razif berkata, mangsa kemudiannya diberi ubat bius oleh pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mengelakkan dirinya bertindak agresif ketika cuba mendapatkan rawatan.

“Usaha membuang kesemua cincin terbabit dilakukan dengan menggunakan ‘ring cutter’. Kita juga mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memotong kesemua 16 cincin terbabit,” katanya.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.36 petang dan mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya. – Sinar Harian

Loading...