Lelaki Simpan Organ Hidupan Liar Lebih RM1 Juta Ditahan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis organ hidupan liar dan kayu gaharu yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Acryl Sani Abdullah Sani berkata penahanan lelaki itu dibuat selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 Miri, Sarawak menyerbu sebuah rumah di Miri, Sarawak.

Beliau berkata rumah berkenaan dipercayai dijadikan stor penyimpanan organ hidupan liar untuk dipasarkan ke luar negara.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menjumpai pelbagai saiz dan gred kayu gaharu, lima kepala rusa berserta tanduk, 19 tanduk rusa pelbagai bentuk dan saiz, dua ekor biawak yang diawetkan dan dua ekor kura-kura.

“Suspek dan kesemua spesies hidupan liar itu diserahkan ke Perbadanan Perhutanan Sarawak Cawangan Miri untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seskyen 29 Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998, kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah memiliki semua spesies hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata PGA Ibu Pejabat Briged Sarawak menyerbu sebuah rumah di Bau, Sarawak dan merampas 12 sangkar mengandungi 63 ekor burung pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM68,600 pada Rabu.

“Dalam operasi tersebut, turut ditahan seorang lelaki tempatan yang merupakan pemilik rumah tersebut.

“Suspek dan kesemua spesies burung diserahkan ke Perbadanan Perhutanan Sarawak Cawangan Kuching untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seskyen 29 Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998, kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen sah memiliki semua spesies hidupan liar,” katanya.

Loading...