Lelaki Sebabkan Kematian Syed Danial Didakwa Esok

SHAH ALAM – Seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Kilometer 293.5 Lebuhraya Utara Selatan akan didakwa di Mahkamah Kajang di sini, esok.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, ini selepas pihaknya mendapat perintah pendakwaan daripada Timbalan Pendakwa Raya terhadap suspek berusia 40 tahun itu. 

“Ya, akan didakwa di Mahkamah Kajang esok mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ringkas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Mengulas mengenai khabar angin isteri lelaki tersebut ada menghubungi pihak polis memaklumkan Allahyarham Syed Muhammad Danial membawa kenderaan secara berbahaya semasa kejadian, Ab. Rashid menafikan perkara tersebut.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang pada 10 Ogos lalu, Syed Muhammad Danial, 29, dilaporkan maut selepas dilanggar sebuah kenderaan yang dipandu lelaki lain.

Kejadian dikatakan berlaku akibat kemalangan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi dengan kedua-dua kenderaan berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi di mana mangsa dilanggar. – K! ONLINE

Loading...