Lelaki Lalok Dadah Pecah Skrin ATM Ditahan

IPOH – Seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah ditangkap ketika sedang memecahkan skrin pada empat daripada enam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Greentown di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata ketika tangkapan kira-kira pukul 12.30​​​​​​ tengah malam tadi, berlaku sedikit pergelutan antara anggota polis dengan suspek berumur 42 tahun itu.

“Berlaku sedikit pergelutan kerana suspek cuba melarikan diri dan akibat daripada itu suspek mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan di tempat kejadian mendapati tempat duit pada mesin ATM tidak dipecahkan dan tiada senjata dijumpai.

“Polis dimaklumkan oleh suspek bahawa dia memecahkan skrin mesin ATM dengan menggunakan botol arak. Bagaimanapun siasatan dan pemeriksaan di tempat kejadian masih diteruskan,” katanya.

Menurut Mohd Ali, suspek yang tinggal di Taman Ramai Bercham di sini, kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – BERNAMA