Lelaki Palestin Akhiri Mogok Lapar Lepas Terima Hukuman

RAMALLAH – Seorang banduan Palestin mengakhiri mogok lapar semalam selepas mahkamah tentera Israel menjatuhkan hukuman penjara selama setahun, kata isterinya.

Khader Adnan berada dalam tahanan sejak Disember lalu dan hukuman itu bermakna beliau dijangka dibebaskan dalam tempoh dua bulan lagi.

Adnan memulakan mogok lapar awal September lalu bagi membantah penahanannya dan dijatuhkan hukuman penjara selama setahun semalam, kata peguam dan isteri lelaki berkenaan.

“Keputusan hakim untuk menjatuhkan hukuman penjara setahun adalah berdasarkan keadaan kesihatan beliau yang buruk akibat mogok lapar itu,” kata isterinya, Randa.

Tentera Israel mengesahkan hukuman berkenaan dan dalam satu kenyataan berkata, lelaki terbabit disabitkan dengan kesalahan menganggotai pertubuhan Jihad Islam yang diharamkan negara Zionis itu.

Adnan telah melakukan banyak bantahan sebelum ini ketika ditahan di dalam penjara Israel.

Pada 2012, beliau melakukan mogok lapar selama 66 hari sebagai bantahan terhadap penahanan tanpa perbicaraan, iaitu kaedah yang digelar Israel sebagai ‘penahanan pengurusan’.

Beliau melakukan mogok lapar selama 50 hari tanpa makanan pada 2015 ketika sekali lagi ditahan atas satu kesalahan lain. – AFP/BH ONLINE