Lelaki Nepal Maut Bergaduh Dengan Rakan Senegara

TANGKAK – Seorang lelaki warganegera Nepal maut dipercayai dibunuh rakan senegaranya di sebuah kilang perabot di Jalan Kesang Laut di sini, kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Mangsa yang berumur 25 tahun ditemukan maut dalam keadaan terlentang serta berlumuran darah di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul dengan kayu di bahagian muka dan kepala.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, polis turut menahan suspek berusia 22 tahun yang juga rakan sebilik mangsa bagi bantu siasatan termasuk merampas bahan bukti yang berkaitan dengan kes terbabit.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan tindakan cabar-mencabar berlaku ketika kedua-dua mereka di bawah pengaruh alkohol.

“Suspek telah bertindak memukul mangsa dengan menggunakan kayu di bahagian kepala dan muka sehingga mengakibatkan bahagian pipi terkoyak dan menampakkan gigi,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Mohad Idris berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat manakala suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Loading...