Lelaki Myanmar Didakwa Lambung Anak Saudara Hingga Maut

AMPANG – Seorang lelaki Myanmar yang melambung anak saudara perempuannya berusia dua tahun sehingga maut selepas terkena kipas siling bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Hairul Amin Harul Rushid, 24, ketika prosding di hadapan Hakim Norhazani Hamzah memandangkan lelaki itu tidak faham bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur itu didakwa telah bertindak secara cuai ke atas Sahena Bibi Rahim Ullah yang berusia dua tahun sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian dahi dan meninggal dunia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di ruang dapur sebuah rumah di Taman Sri Raya, Tasek Tambahan di sini pukul 10 malam pada 16 Jun lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd. Razak memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi kehadiran jurubahasa Myanmar memandangkan tertuduh langsung tidak faham pertuduhan.

Berikutan itu mahkamah menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes dan pada tarikh jurubahasa Myanmar akan hadir bagi membaca pertuduhan.

Pada masa sama, tiada ikat jamin diberikan kepada tertuduh. 

Pada 19 Jun lalu, tindakan seorang lelaki warga Myanmar yang melambung anak saudaranya ketika bermain berakhir dengan tragedi apabila bayi berusia dua tahun itu meninggal dunia selepas kepalanya terkena kipas siling di sebuah rumah di Tasik Tambahan Ampang, Ampang di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam sewaktu lelaki berusia 25 tahun itu bermain dengan anak saudaranya yang sedang menangis di bahagian dapur rumah mereka.

Menurut Noor Azmi sewaktu sedang bermain dengan bayi berkenaan, lelaki itu telah melambung anak saudaranya lalu terkena kipas siling mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala.

Susulan kejadian itu, ibu mangsa telah membawa bayi berkenaan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

Noor Azmi berkata, bayi berkenaan bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital keesokan harinya dan laporan bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederan parah akibat trauma objek tumpul pada kepala.

Ekoran itu bapa mangsa yang berada di Butterworth, Pulau Pinang di atas urusan kerja telah membuat satu laporan polis selepas dimaklumkan oleh isterinya berhubung kejadian.

Loading...