Lelaki Menyamar Polis, Pegawai Muzium Diraja Ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki, yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun di sekitar Brickfields dan Sentul, dengan menyamar sebagai pegawai kanan polis dan pegawai Muzium Diraja, ditahan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Zairulnizam Mohd [email protected] berkata, lelaki berumur 36 tahun itu dikesan berada di Jalan Rasah, Seremban, Negeri Sembilan menerusi Op Cantas Daerah Brickfields pada Selasa lepas.

“Polis berjaya menahan suspek selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di bahu jalan di kawasan Ayer Keroh, Melaka.

“Polis merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, satu dompet, dua kad pengenalan milik mangsa, dua lesen memandu milik mangsa dan sebuah kereta Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, siasatan mendapati suspek aktif melakukan penyamaran sebagai penjawat awam dengan menggunakan identiti ‘Tuan Am’ dan ‘Tuan ASP Wan Faizul’.

Katanya dengan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan lapan kes dikaitkan dengan suspek di sekitar Brickfields dan Sentul.

“Kami ingin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dengan trend jenayah semasa dan tidak mudah mempercayai individu yang mengaku sebagai penjawat awam tanpa menunjukkan apa-apa pengenalan diri yang sah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Loading...