Lelaki Ipoh Ini Selamba ‘Berumah’ Di Pusat Beli Belah

SETIAP orang pastinya mengidamkan sebuah rumah yang selesa untuk didiami. Namun buat seorang lelaki ini, dia memilih untuk tinggal di pusat beli-belah dan perkara itu telah lama dilakukannya.

Chen Jinfu, 35, yang berasal dari Ipoh, Perak selamba menjadikan pusat beli-belah Jurong Point, Singapura sebagai ‘rumahnya’ selama hampir empat tahun.

Menurut laporan media tempatan Lianhe Wanbao pada Isnin, Chen menggunakan segala kemudahan seperti air, elektrik, dan Wi-Fi di pusat membeli-belah tersebut secara percuma.

Chen mengatakan suasana di pusat membeli-belah itu sangat selesa kerana mempunyai kemudahan pendingin hawa dan kepelbagaian fasiliti seperti pasar raya 24 jam.

Malah dia juga bebas mengecas telefon bimbit miliknya tanpa dikenakan sebarang caj.

Orang ramai terutamanya pengunjung di Jurong Point beranggapan Chen merupakan seorang gelandangan apabila melihatkan keadaan dirinya yang serba tidak terurus.

Lelaki Ipoh Ini Selamba 'Berumah' Di Pusat Beli Belah

Namun yang sebenarnya ialah ‘gelandangan’ itu merupakan seorang pekerja elektronik di sebuah kilang dan mempoleh pendapatan bulanan lebih dari SGD$1,000 (RM3,139).

Difahamkan, dia menyewa sebuah bilik yang dikongsi berdua di Boon Lay, satu kawasan kejiranan yang terletak di bandar Jurong West dengan harga SGD$250 (RM780) sebulan.

Mungkin ia kedengaran agak pelik, tetapi Chen memberitahu dia berasa sukar tinggal di bilik tersebut kerana ia sangat panas, sempit, malah tidak ‘sebulu’ dengan penyewa yang lain.

Dia tetap menyewa bilik berkenaan kerana memerlukan alamat tetap untuk pas bekerja dan hanya akan pulang sekali atau dua kali seminggu untuk membersihkan diri.

Seorang jurucakap untuk Jurong Point memberitahu The Straits Times bahawa mereka membenarkan Chen tinggal di sana selagi dia tidak mencetuskan sebarang gangguan.

“Kami gembira kerana pengunjung menikmati kemudahan yang disediakan.

“Jika Chen Jinfu menggunakan kemudahan kami dengan cara yang baik tanpa menimbulkan gangguan atau ancaman kepada keselamatan di pusat membeli-belah itu, kami amat mengalu-alukannya sama seperti pengunjung yang lain,” katanya.

Chen mendakwa dia tidak pernah dihalau dan berkata dia turut melihat ada individu lain tinggal di pusat membeli-belah itu sama seperti dilakukannya. – MYNEWSHUB.CC