Lelaki Ini Gigih Simpan Duit Syiling RM17K Untuk Kahwin

SEORANG netizen di Singapura, Muhammad Helmy pada mulanya ditertawakan oleh orang ramai berikutan niatnya yang ingin mengumpul wang perkahwinan dengan hanya menyimpan syiling.

Setelah hampir dua tahun dia mengamalkan simpanan beberapa keping syiling pada setiap hari, kini percaya atau tidak, Muhammad Helmy berjaya mengumpul wang lebih daripada S$6,000 (RM17,777).

Dia malah berkongsikan kisah kejayaannya itu kepada orang ramai menerusi laman Facebook tempatan.

Gigih Simpan Duit Syiling Untuk Kahwin, Lelaki Ini Dipuji

Dilhamkan daripada bapa saudaranya, kisah mengenai Muhammad Helmy itu sehingga kini menerima pelbagai pujian atas kegigihan dan usaha yang pada mulanya dipandang enteng oleh masyarakat.

Menurutnya, posting itu dimuat naik bagi memberi motivasi dan semangat kepada rakan-rakan dan anak muda lain yang mahu berkahwin pada usia muda sepertinya, atau memerlukan wang untuk apa jua tujuan sekalipun.

“Simpan duit syiling satu dolar. Cukup masa, tabur sahaja di meja, atau pun tambahkan lagi pada tabung itu. Tidak perlu kacau duit simpanan.

“Tiada apa yang mustahil. Soal hendak atau tak nak saja, dan perlu ada disiplin,”  tulis Muhammad Helmy yang juga merupakan bekas pelajar kejuruteraan Universiti Nasional Singapura. – MYNEWSHUB.CC