Lelaki Hisap Ganja Depan Hakim

NASHVILLE – Seorang lelaki di Tennessee, Amerika Syarikat selamba menghisap ganja ketika perbicaraan kes dadahnya sedang berlangsung di mahkamah.

Tindakan gila lelaki itu akhirnya memakan diri apabila dijatuhi hukuman penjara 10 hari kerana menghina mahkamah.

Lelaki itu, Spencer Boston, 20, melakukan aksi luar biasa itu dan dapat dirakam video dalam mahkamah di Wilson, pada 27 Januari lalu.

Portal Fox44 melaporkan, dia kelihatan berdiri di dalam mahkamah ketika Hakim Haywood Barry sedang berbincang sesuatu.

Dalam rakaman video itu, dia dilihat memasukkan tangan ke dalam poket jaket, kemudian menyalakan api dan membakar rokok mengandungi ganja.

Selepas itu, dia beralih kepada penonton yang penuh sesak dalam mahkamah dan melaungkan ‘rakyat berhak mendapat lebih baik.’

Ia turut menunjukkan beberapa orang awam yang berada di dalam mahkamah ketawa melihat perbuatannya itu.

Video itu menunjukkan kakitangan mahkamah segera menahan Boston dan memasukkan lelaki itu ke dalam tahanan.

Syerif Wilson County, Leftenan Scott Moore berkata, sepanjang 20 tahun bertugas dalam menguatkuasa undang-undang, dia tidak pernah melihat situasi aneh itu dalam mahkamah. – Agensi

Loading...