Lelaki Hina Islam Diarah Jalani Pemeriksaan Mental

60

KUCHING – Seorang lelaki yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM50,000 kerana menghina agama Islam di media sosial akan dirujuk ke Hospital Sentosa di sini untuk menjalani pemerhatian selama sebulan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azahari Kamal Ramli mengeluarkan arahan itu kepada Alister Cogia yang berusia 22 tahun, susulan permohonan untuk semakan oleh pasukan peguam PKR semalam.

Pasukan itu terdiri daripada See Chee How yang juga ADUN Batu Lintang, Desmond Kho, Jeffrey Mok, Francis Teron dan Chai Pei Chen.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Musli Abdul Hamid, Isa Hassim dan Hayda Faridzal Abu Hasan.

See berkata, permohonan itu bertujuan memastikan tiada kesilapan dalam sabitan dan hukuman yang dijatuhkan.

“Kami akan kembali pada 16 April untuk melihat jika ada keperluan meneruskan pendengaran.


“Jika dia terbukti tidak sihat dari segi mental, maka tidak perlu dipertikaikan sabitan dan hukuman.”

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman itu ke atas Alister Jumaat lalu, selepas pemuda itu mengaku bersalah memuat naik komen menghina agama Islam dan Nabi Muhammad di Facebook.

Ibu Alister, Alen Rijod berkata, anaknya menunjukkan tanda sakit mental sejak kecil lagi. – FMT