Lelaki Hina Agong Di Facebook Ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung satu hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata polis kini dalam proses untuk memohon perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 35 tahun itu.

“Tangkapan terhadap lelaki itu dibuat susulan siasatan yang dijalankan hari ini berhubung satu hantaran yang dimuat naik menggunakan akaun Facebook ‘Aaron Yee’.

“Siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM 1998) iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, katanya polis hari ini turut menjalankan siasatan terhadap dua lagi hantaran yang didapati berbaur penghinaan terhadap Agong yang dimuat naik melalui akaun Facebook serta satu hantaran berbaur hasutan di Twitter.

“Dua hantaran berbaur penghinaan terhadap Agong itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook mengguna nama ‘Gavin Lee’ dan ‘Haizad Azhar’.

“Selain itu, satu siasatan dimulakan berhubung satu hantaran berbaur hasutan oleh pemilik akaun Twitter Fadiah Nadwa Fikri @FadiahNadwa, semalam.

“Beliau didapati dengan sengaja memuat naik kenyataan berunsur hasutan yang boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan dan boleh mengganggu gugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Semua kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 AKMM 1998 dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

Bagi menjamin ketenteraman awam dan keharmonian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai agar mendokong prinsip rukun negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Janganlah menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh mendatangkan suasana tidak harmoni yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

“Kita juga menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang, mengeluarkan kenyataan atau memuat naik sebarang artikel yang boleh mendatangkan kebencian,” katanya.

PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan. – BH Online

Loading...