Lelaki Ditahan Dipercayai Terlibat 5 Kes Ragut

KLUANG – Seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun ditahan semalam kerana disyaki terlibat sekurang-kurangnya lima kes ragut di sekitar Kluang termasuk kejadian terbaru, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata lelaki itu ditahan pada 8.30 pagi di Taman Orkid, di sini, oleh anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Kluang.

Mohd Abduh berkata pada Sabtu lepas, suspek dikatakan meragut seorang wanita berumur 53 tahun di Jalan Serai, di Taman Sri Tengah Kluang, di sini.

“Menurut keterangan mangsa yang membuat laporan pada 7.30 pagi, Sabtu lepas, suspek menunggang motosikal dan meragut dompet mangsa yang diletakkan di hadapan motosikal. Mangsa cuba mengejarnya, namun, gagal,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Katanya lelaki berkenaan kemudian ditahan anggota RCJ yang melakukan rondaan selepas melihat suspek dalam keadaan mencurigakan dan semakan kemudian mendapati suspek mempunyai rekod berkaitan dadah.

Katanya, semasa tangkapan dilakukan polis turut merampas sebuah motosikal jenis Modenas Kriss, satu topi keledar, serta dompet yang mengandungi kad pengenalan, lesen, kad ATM, buku bank serta pelbagai jenis kunci dan kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana samun. – BERNAMA

Loading...