Lelaki Ditahan Bersama Syabu Bernilai Lebih RM5K

PENDANG – Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis syabu bernilai lebih RM5,000 dalam satu operasi di kawasan jalan tanah merah di Kampung Bukit Choras di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah berkata lelaki tempatan berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira 12.45 pagi tadi selepas pemeriksaan di kawasan itu menemui dua bungkusan syabu seberat 51.10 gram.

“Ketika anggota memperkenalkan diri, suspek bertindak terjun ke dalam kawasan bendang berhampiran untuk melarikan diri dan sempat mencampakkan dua bungkusan plastik lutsinar berisi syabu di atas tanah.

“Namun kepantasan anggota kita berjaya memberkas suspek dan pemeriksaan lanjut menemui sejumlah wang tunai bernilai lebih RM800 yang turut dirampas untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Arriz Sham berkata suspek yang baru ‘berjinak-jinak’ menjadi pengedar dadah dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada pembekal sebelum ia dijual semula kepada penagih.

Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau turut positif methamphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

Loading...