Lelaki Dipenjara 7 Bulan Kerana Hina Islam, Nabi

43

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 7 bulan dan denda RM10,000 terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah menghina Nabi Muhammad dan Islam di media sosial.

Hakim, Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman itu kepada Mohamad Yazid Kong Abdullah yang mengaku bersalah Jumaat lalu, di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Perlembagaan menyatakan agama Islam ialah agama persekutuan dan perbuatan kamu betul-betul mencabar Perlembagaan.”

Jika gagal membayar denda itu, katanya, Yazid perlu menjalani hukuman penjara tambahan 2 bulan.

Yazid didakwa memuat naik 3 catatan Facebook menghina Islam dan Nabi Muhammad pada 24 Februari lalu. Catatan itu dibaca Mohd Saifuddin Mustaffa pada 1 Mac yang kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.

Yazid ditahan di rumahnya pada 4 Mac lalu. Polis turut merampas telefon bimbit dan modem WiFi.

Peguam, Syafiq Salleh yang mewakili Yazid merayu hukuman diringankan kerana ini kesalahan pertama anak guamnya yang perlu menanggung seorang isteri dan anak masih kecil.

“Beliau memeluk Islam apabila berkahwin, tetapi tidak mendapat bimbingan daripada pihak berkaitan mengenai agama itu.”

Katanya, Yazid akan memohon maaf kepada orang ramai atas tindakannya itu.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal menggesa mahkamah mengenakan hukuman pencegahan kerana tindakan menghina agama ialah kesalahan serius.

“Status Facebooknya menimbulkan kemarahan di kalangan masyarakat Islam di sini,” katanya sambil menambah pihak pendakwaan memohon hukuman penjara 8 bulan dan denda RM40,000 ke atas Yazid.

Minggu lalu, seorang lelaki di Sarawak dijatuhkan penjara 10 tahun 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuching atas kesalahan sama.

Alister Cogia mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan memuat naik komen menghina Islam dan nabi.

Seorang lagi lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, bulan lalu, kerana menghina nabi dan Islam melalui imej kartun di Facebooknya. – FMT