Lelaki Didakwa Pukul Suspek Curi Hingga Parah

KOTA BHARU – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memukul seorang suspek curi dengan kayu hingga mengakibatkan mangsa patah kedua-dua belah tangan dan kaki kiri awal bulan ini.

Tertuduh, Shukri Salleh, 42, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Lelaki yang bekerja sendiri itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah iaitu patah kedua-dua belah tangan dan kaki kiri, sembilan jahitan di bahagian kepala dan patah gigi hadapan terhadap Mohd. Fahmi Mustafah, 38.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di kawasan Masjid Kampung Gua, Salor di sini dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang pada 2 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta boleh didenda dan sebatan.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Faaiz Ahmad Maher.

Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki yang dikatakan cuba menceroboh sebuah gudang perabot di tepi Lebuh Raya Salor – Pasir Mas, di sini ditangkap oleh orang ramai sebelum dibelasah.

Video kejadian pukul tersebut menjadi tular di laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai. – K! ONLINE

Loading...