Lelaki Diburu Dera Anak Angkat Guna Sudu Panas

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang penjual ikan yang dipercayai mendera anak angkatnya dengan menggunakan sudu panas dalam kejadian di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian dari ibu angkat mangsa yang juga isteri kepada suspek berusia 48 tahun terbabit kira-kira pukul 6 petang semalam.

“Mangsa yang merupakan kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun mengalami kecederaan melecur di kedua-dua pipi dan tangan, pinggang kanan serta kaki kiri.

“Menurut ibu angkat mangsa yang berusia 25 tahun itu, kejadian dipercayai berlaku pada 30 Mei lalu ketika dia berada di India untuk bercuti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismadi berkata, suspek yang bekerja di Pasar Borong Serdang itu dipercayai melarikan diri sejak 31 Mei lalu dan meninggalkan kanak-kanak terbabit di rumah bersama anak kandung mereka yang berusia 9 tahun.

“Mangsa kemudian ditemukan ibu angkatnya yang baru pulang dari bercuti pada Ahad lalu.

“Kita sedang giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Loading...