Lelaki Dera Anak Tiri Berbogel Akan Dipanggil Polis

SUNGAI SIPUT – Polis akan memanggil seorang lelaki bagi memberi keterangan berhubung satu rakaman video tular melalui media sosial berkaitan kes mendera seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan berbogel di Jalan Kampung Koboi, Taman Doven di sini semalam.

Klip video berdurasi sembilan minit 33 saat yang tular sejak semalam itu menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki berbogel dalam keadaan berlutut dan kedua-dua belah tangannya diangkat ke kepala.

Dalam kejadian di halaman rumah itu, lelaki tersebut yang merupakan bapa tiri kanak-kanak itu dilihat memarahi mangsa selain mengacah untuk memukulnya menggunakan penyapu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu oleh ibu saudara mangsa lewat malam semalam selepas menonton rakaman video tersebut.

“Siasatan mendapati lelaki berusia lingkungan 20an merupakan bapa tiri kanak-kanak yang berusia 11 tahun berkenaan.

“Polis sedang melakukan siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. – K! ONLINE

Loading...