Lelaki Dakwa Wartawan Sambilan Tukar Pengakuan Tak Bersalah

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mendakwa dirinya wartawan sambilan yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang ketua pegawai eksekutif wanita, hari ini menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen.

Mohd Zarith Md Hanipah, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Hari ini ditetapkan untuk mahkamah menjatuhkan hukuman dan pendengaran fakta kes selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu pada 11 November lepas.

Peguam Azi Azlin Zulkifli yang mewakili Zarith memohon supaya jumlah jaminan sebelum ini dikurangkan kerana tertuduh ketika itu tidak diwakili peguam.

“Pihak kami baru sahaja dilantik pada hari ini,” katanya.

Bagaimanapun, hakim mengekalkan jaminan RM15,000 dan menetapkan 12 Disember untuk sebutan semula kes.

Zarith didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Melissa Ong, 47, di sebuah hotel pada 12.15 tengah hari, 8 November lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Mohd Jafri memohon satu tarikh untuk serahan dokumen.

Pada 11 November, tertuduh ditahan di Penjara Sungai Buloh selepas gagal membayar jaminan RM15,000 yang ditetapkan oleh mahkamah.

Ahli keluarga tertuduh kelihatan hadir di mahkamah hari ini.

Loading...