Lelaki Cedera Ditikam Semasa Keluar Beli Makanan

BAGAN SERAI – Seorang lelaki cedera diperut akibat ditikam dengan sebilah pisau dalam kejadian samun di Lorong Angsana, Taman Bagan Serai bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alang Iskandar dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata dalam kejadian 11.20 malam itu, mangsa berumur 22 tahun sedang mengayuh basikal untuk membeli makanan.

Katanya semasa dalam perjalanan, mangsa telah didatangi dua lelaki menaiki motosikal tidak dikenali mengacukan pisau meminta mangsa menyerahkan telefon bimbitnya.

“Mangsa enggan menyerahkan telefon lalu berlaku pergelutan sebelum mangsa ditikam di bahagian perut dengan pisau oleh pembonceng motosikal berkenaan.

“Suspek merampas telefon mangsa jenis Asus sebelum kedua-duanya yang memakai topi keledar dan penutup gelap melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Omar Bakhtiar berkata mangsa yang terbaring dan cedera dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut oleh orang awam.

Katanya polis sedang mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri ke arah Kuala Kurau. – BERNAMA

Loading...