Lelaki Bersenjata Api Mengamuk, Sekurang-Kurang 10 Terbunuh

MONTREAL – Seorang lelaki bersenjata api membunuh sekurang-kurang 10 orang dalam kejadian amuk yang berlaku semalaman di luar bandar Nova Scotia, dan ditemui mati selepas diburu selama berjam-jam, kata polis persekutuan Kanada, semalam.

Terdahulu, suspek dikenal pasti sebagai Gabriel Wortman, 51, melarikan diri sejak malam kelmarin selepas polis dimaklumkan ada tembakan dilepaskan di kawasan komuniti kecil, Portapique yang terletak kira-kira 100 kilometer (km) dari ibu kota wilayah Atlantik, Halifax.

Beberapa mangsa kemudian ditemui di kedua-dua bahagian luar dan dalam sebuah rumah, manakala polis melancarkan pemburuan ke atas suspek selama 12 jam di seluruh wilayah itu.

Jurucakap polis, Chris Weather, berkata pihak berkuasa masih belum mengenal pasti jumlah kematian sebenar dalam insiden berkenaan.

“Ia melebihi 10 orang. Ia hampir pasti akan lebih daripada 10 orang. Berapa ramai lebih daripada 10, saya tidak tahu,” katanya pada satu sidang media.

Antara mangsa terkorban dalam kejadian itu ialah seorang pegawai wanita Polis Diraja Kanada (RCMP), manakala seorang lagi anggota cedera.

“Usaha memburu suspek berakhir pagi ini (semalam)… apabila suspek berjaya dikesan dan saya boleh mengesahkan dia telah mati,” kata Weather.

Namun setakat ini, polis memaklumkan, mereka belum ada petunjuk mengenai motif kejadian itu.

“Apa yang saya akan katakan, nampaknya ia sangat jarang berlaku,” kata Weather.

Penyerang terbabit yang dilaporkan mencari rezeki sebagai pembuat gigi palsu, dikesan memandu sebuah kenderaan dilihat seperti kereta polis sebelum menukar kereta, menurut RCMP.

RCMP sekali gus menciap beberapa kali bahawa suspek bukan seorang pegawai polis serta memberi amaran bahawa lelaki itu ‘bersenjata dan berbahaya’. – Agensi